Tiba-tiba nama Parti Komunis Malaya (PKM) menjadi sebutan semula, bukan kerana mereka kembali melancarkan gerakan bersenjata, tetapi kerana terbitnya memoir peribadi bekas Setiausaha Agungnya, Chin Peng yang kemudiannya menimbulkan lagi polemik bila beliau menyuarakan hasrat hatinya ingin pulang ke Malaysia.
Kepada sebahagian besar daripada masyarakat kita, komunis telah diterima pakai maksudnya sebagai jelek, jahat, zalim, ganas dan bangsat. Momokan ini kelihatannya terus mendominasi pemikiran generasi baru kita walaupun secara sedar kita tahu yang negara kita punya hubungan diplomatik dengan kuasa-kuasa komunis dunia seperti China dan Cuba.
Komunis hanyalah satu ideologi yang biasanya tumbuh di dalam dua cabang, politik dan ekonomi, sama seperti sosialis, juga mungkin demokratis, tetapi demokratis biasanya hanya wujud sebagai amalan politik, demokratis selalu muncul bersama sistem ekonomi kapitalis yang menindas sedangkan "lasses faire" itu selalu tertinggal di belakang menjadi pujaan ilmuwan ekonomi yang ralit menulis di bilik yang sempit.
Kebejatan komunis sering digambarkan di dalam dua peristiwa, Pemberontakan Bintang Tiga dan Zaman Darurat. Bagi seorang pemikir yang mahu melihat sejarah dengan jujur dan bersandarkan kepada sebab-musabab tentulah akan dapat merasionalkan tindakan Bintang Tiga selepas penyerahan kalah Tentera Jepun. Harus diingat bahawa Jepun berperang dengan China sebelum datang menjajah tanahair kita ini, lalu bila datang ke sini, masyarakat Tionghua yang ada di sini terus-terusan menjadi mangsa kelangsungan dendam mereka. Ketika itu, kelompok yang dominan-Cina yang paling berani menentang pendudukan Tentera Jepun adalah mereka ini, Gerilla Bintang Tiga. Jadi tidak hairanlah bilamana Tentera Jepun menyerah kalah, Gerilla Bintang Tiga ini keluar dari hutan dan merayakan kemenangan. Walaupun timbul kekecohan, bagi saya ini adalah reaksi normal manusia dalam perang yang tiba-tiba merasakan mereka telah menang.
Sebahagian tempoh darurat berlangsung pada waktu Malaya telah merdeka. Soalnya mengapa PKM meneruskan gerakan bersenjata ala gerilla mereka walaupun mereka sedar penjajah sudah tiada? Mengapa PKM masih menentang Malaya yang merdeka mungkin sama dengan mengapa Indonesia di bawah pemerintahan Soekarno melancarkan operasi Ganyang Malaysia selepas pembentukan Malaysia pada tahun 1963, sebabnya sudah tentulah apa yang didakwa sebagai NEO KOLONIALISME, penjajahan bentuk baru. Kita dikata merdeka, tetapi kita dimestikan menerima perlembagaan yang dirangka penjajah. Kita dikata merdeka, tetapi kerana perlembagaan ini, kita secara sedar mewarisi sistem penjajah, undang-undang penjajah, bahkan lebih teruk lagi sebahagian besar daripada kita masih mewarisi ketuanan penjajah, walaupun tuan ini tidak pernahpun memberi kita waima lima sen untuk sesuap nasi. Sekilas pandang, ia hampir sama dengan apa yang dibuat oleh Amerika terhadap Iraq sekarang. Mereka memang akan memberi semula kemerdekaan kepada rakyat Iraq tetapi mereka terlebih dahulu akan menentukan dan menyusun segalanya termasuk perlembagaan mengikut kerangka selera mereka. Kepimpinan Almarhum Tunku (semoga Tuhan merahmati roh beliau) ketika itu dilihat oleh PKM mungkin hampir sama dengan kepimpinan Ahmad Challabi di Iraq, juga Hamid Karzai di Afghanistan. Kita boleh menerima logik mengapa kedua-dua pemimpin ini ditentang oleh rakyat mereka sendiri.
Ketika operasi Ganyang Malaysia oleh Indonesia, telah berlaku pertembungan ketumbukan ketenteraan dua negara berjiran, apa yang lebih kita ingat sebagai era konfrontasi; berlaku perang, maka telah wujud korban. Apakah kerajaan tidak mengambil kira perasaan anggota tentera, bekas anggota tentera, balu-balu dan keluarga mereka bila selepas era itu, kembali berbaik dengan Indonesia? Bukan setakat rakan diplomatik tetapi menjadi antara negara sahabat yang akrab di rantau ini. Jadi tidak bolehkah pertimbangan ini (kalaupun bukan atas sifat kemanusiaan) kita gunakan untuk hanya membenarkan Chin Peng pulang melawat pusara ibubapa dan keluarga, serta saudara-mara yang masih hidup, itu sahaja permintaannya.
Saya bukanlah seorang komunis, bukan juga sosialis, juga mungkin bukan seorang demokratis, pendek kata bukan seorang ideologis. Dari pengamatan yang panjang, saya melihat ada usaha jahat sedang dilakukan, kata-kata PATRIOT, PATRIOTIK dan PATRIOTISME sedang cuba dimilikUMNOkan, bahkan UMNO berani untuk mengatakan rakan komponen BNnya sendiri sebagai tidak patriotik, apalagi pembangkang. Membangkang UMNO bagi UMNO bukan sahaja tidak patriotik, lebih dari itu adalah pembelot dan pengkhianat negara. Tulisan ini mungkin akan membuat UMNO melabel saya sebagai pro-komunis, lebih teruk saya mungkin terus dicop sebagai komunis. Saya tidaklah mengambil berat sangat akan hal itu kerana saya percaya ada kebenaran pada apa yang saya tulis.
Chin Peng mungkin tersalah jurusan bila memilih lapangan dalam keghairahan untuk melempiaskan kobar semangat patriotiknya. Tetapi janganlah pula kita generasi hari ini juga tersalah jurusan dalam menafsir sejarah dan menobat wira. Mereka yang pernah menentang penjajah sama ada dari atas padang atau dari dalam hutan, tetap seorang patriot, bukanlah UMNO yang paling layak untuk bercakap tentang patriotisme bangsa merdeka.
UMNO PAHANG TAK PERNAH MENDAPAT TANAH BALAK? TUNGGU SEKEJAP…
Rupa-rupanya isu UMNO Pahang disaman oleh sebuah syarikat, Seruan Gemilang Makmur (SGM) baru-baru ini kerana kes berkaitan tanah balak di Pekan cukup memberi kesan kepada UMNO sehingga pada suatu ketika, untuk menafikannya, Dato’ Seri Dr. Mahathir, Presiden UMNO terpaksa membuat kenyataan kononnya setahu beliau UMNO tidak pernah diberi kawasan balak.
Elok kita berkenalan dengan sebuah lagi syarikat di Pahang. Di peringkat nasional, syarikat ini mungkin tidak dikenali, namanya Rangkaian Delima Sdn. Bhd., sebuah syarikat pegangan pelaburan yang berpejabat di tengah-tengah Bandar Kuantan. Di dalam profil syarikatnya, secara terang dinyatakan; “Rangkaian Delima Sdn. Bhd. ditubuhkan sebagai sayap utama perniagaan UMNO Negeri Pahang. Selain itu, penubuhan Rangkaian Delima juga bertujuan untuk menjadi syarikat induk kepada anak-anak syarikat UMNO yang telah ditubuhkan sebelumnya.”
Rangkaian Delima dalam sejarah operasinya telah diberi beberapa hak pemilikan. Dua kes yang ingin saya paparkan di sini adalah pemilikan tanah Tebu Hitam (PTR-2/1/0220) di Tebu Hitam, Mukim Rompin seluas 10,000 ekar dan projek pembangunan pertama Rangkaian Delima, bandar teknologi dengan konsep pembangunan bercampur yang mana termasuklah pembangunan perumahan, industri dan komersil yang terletak di Gambang, Kuantan dan akan meliputi kawasan seluas 5,000 ekar. Maksudnya dua kawasan berjumlah 15,000 ekar telah diterangkan. Bila kawasan baru diterangkan, sudah tentulah proses pertama adalah mengeluarkan hasil mahsul dari kawasan tersebut, dalam konteks ini, apa yang dibicarakan sudah tentulah hasil balak.
Berikutan dengan kekalahan Syarikat SGM dalam tuntutan mahkamahnya terhadap UMNO Pahang, Dato’Seri Adnan Yaakob dengan angkuhnya memberi amaran kepada pembangkang supaya tidak memainkan lagi isu itu, ia seperti satu gerakan psikologi terhadap rakyat, secara tersiratnya seperti mahu menegaskan retorik Dr. Mahathir kononnya UMNO tidak pernah mendapat kawasan balak. Tunggu sekejap Dato’ Nan!!! Kepada Dato’ Seri Adnan Yaakob, Menteri Besar Pahang, saya mencabar supaya membuat kenyataan jelas tentang dua perkara. Pertama, siapakah yang memberi pemilikan kedua-dua tanah ini kepada SYARIKAT UMNO ini? Adakah ia kes UMNO memberi tanah kepada UMNO atau Kerajaan Negeri memberi pemilikan tanah ini kepada UMNO de facto (Rangkaian Delima)? Kalau ya, atas kuasa apakah Kerajaan Negeri boleh berbuat demikian? Persoalan kedua, ke mana perginya hasil hutan dari 15,000 ekar tanah yang telah diterangkan ini? Rangkaian Delima? Yang secara terang mengakui bahawa ia adalah sayap pelaburan UMNO Negeri Pahang, UMNO beri tanah kepada UMNO dan UMNO yang mendapat hasilnya, di mana rakyat?
Persoalan yang tidak kurang penting yang perlu dijawab oleh Dato’ Seri Adnan Yaakob ialah tentang status projek yang dikatakan hendak dilaksanakan di kedua-dua tanah di Rompin dan Gambang tersebut. Apakah setelah habis hasil hutannya, perancangan ke mana, projek ke mana? Untuk maklumat lanjut, silalah hubungi pejabat Rangkaian Delima di Kuantan. Apakah Dato’ Seri Adnan akan melepaskan beban ini kepada Pengarah Urusan Rangkaian Delima Sdn. Bhd., Dato’ Faisal? Ingatkah peristiwa UMNO Bahagian Kuantan digantung kerana kes politik wang dalam insiden perlawanan tiga penjuru merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian Kuantan bersama Dato’ Faisal, Dato’ Fauzi Abdul Rahman dan Dato’ Wan Adnan? Bayangkan seorang yang hanya berkelulusan sijil dari Indonesia boleh menjadi Pengarah Urusan sebuah syarikat, untuk apa itu? Apakah supaya beliau mudah diperbudakkan oleh seseorang yang lain dibelakangnya?
Apakah Dato’ Seri Adnan Yaakob masih boleh tersenyum lagi? Jangan tunggu sehingga tabir Dato’ Nan sendiri yang disingkap terutama ketika Dato’ Nan menjadi Exco dulu (ketika Tan Sri Khalil menjadi Menteri Besar). Kalau Dato’ Seri Adnan Yaakob tidak menyahut cabaran, terpaksalah saya memohon jasa baik “our Prime Minister to be,” Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi, kerana kelihatannya beliau agak rapat dengan Dato’ Faisal, Pengarah Urusan Rangkaian Delima, atau kalau Tan Sri Khalil berani membuat kenyataan balas, silakan, bahkan saya mencabar Tan Sri, rasanya Tan Sri lebih maklum akan hal Rangkaian Delima ini.
Mungkin, selepas ini, akan ada kenyataan bodoh, kononnya kes pemilikan tanah ini adalah proses biasa penganugerahan Kerajaan Negeri kepada sebuah syarikat, jadi di bawah ini saya sertakan biodata kesemua Ahli Lembaga Pengarah Rangkaian Delima Sdn. Bhd., telitikanlah, dari mana mereka semua ini datang.
YB Ir Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak
Beliau merupakan Pengerusi Rangkaian Delima Sdn. Bhd. Perlantikan beliau ke jawatan sekarang bermula pada Ogos 2001. Beliau juga adalah Bendahari Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang. Beliau telah menjadi Pengarah Rangkaian Delima semenjak Ogos 2001.
YH Dato’ Haji Faisal @ Fisar Haji Abdullah
Beliau merupakan Pengarah Urusan Rangkaian Delima Sdn. Bhd. Beliau juga adalah Pengarah Kurnia Setia Berhad, salah satu syarikat perladangan kelapa sawit yang berjaya di Pahang. Beliau yang berkelulusan Sijil Menengah Agama dan Sijil Pendidikan Indonesia adalah anggota pengurusan asal Rangkaian Delima dan telah bersama syarikat semenjak ia ditubuhkan lagi. Beliau juga berpengalaman luas dalam politik dan pertubuhan belia, melebihi 25 tahun. Belia adalah Naib Presiden Gerakan Belia 4B (M) Kebangsaan dan Presiden Gerakan Belia 4B (M) Kuantan, beliau juga adalah Presiden Majlis Belia Pahang. Sebelum menyertai Rangkaian Delima, beliau adalah Setiausaha Kerja UMNO Negeri Pahang dan Barisan Nasional Negeri Pahang. Pengalaman luasnya dalam politik dan pertubuhan belia memberi banyak manfaat kepada syarikat. Beliau telah menjadi pengarah Rangkaian Delima semenjak tahun 1996.
YB Dato’ Haji Mohd Sarit Haji Jusoh
Beliau merupakan Pengarah dan Pengerusi kepada Kwantas Corporation Berhad. Beliau juga adalah Pengarah dan Pengerusi kepada Kurnia Setia Berhad, Khee San Berhad dan Goh Huat Berhad. Pada masa ini beliau juga adalah Ahli Parlimen Temerloh sejak Pilihanraya Umum 1999. Beliau telah terlibat dengan perniagaan selama 10 tahun. Pengalaman perniagaan yang luas dan kedudukan sebagai Pengerusi dalam beberapa buah syarikat tersenarai memberikan nilai yang tinggi kepada Rangkaian Delima. Beliau telah menjadi pengarah Rangkaian Delima semenjak tahun 1996.
YH Dato’ Haji Abd Rahim Mohamad
Beliau merupakan Pengerusi Eksekutif Zil Group of Companies dan anak syarikatnya. Beliau juga adalah pengarah kepada beberapa buah syarikat tersenarai dan sendirian berhad terutama yang terlibat dengan pegangan pelaburan dan pembangunan hartanah. Ini termasuklah Pasdec Corporation Berhad, Far East Holdings Berhad, Pahang Cement Sdn. Bhd. dan beberapa syarikat lagi. Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Kewangan dari Morehead State University of Kentucky, Amerika Syarikat. Beliau juga mempunyai Ijazah Sarjanamuda Kepujian dalam Pengurusan Perniagaan dan Dipkoma Lanjutan Ekonomi dari Universiti Malaya dan University of Manchester. Belia berpengalaman luas dalam bidang korporat dan badan kerajaan. Beliau adalah bekas Pengarah Urusan Kumpulan Maju Holdings Sdn. Bhd., Pengurus Besar Kumpulan dan Pengarah Eksekutif Shapadu Group of Companies serta Pengurus Kanan Amanah Merchant Bank Berhad. Dalam kerajaan, beliau adalah bekas Pegawai Perkhidmatan Tadbir & Diplomatik Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Perusahaan Utama, Kementerian Kebudayaan, Belia & Sukan serta Kementerian Kewangan sebelum terjun ke dunia korporat. Beliau juga aktif dalam politik dan kerja sosial dan merupakan ahli Biro Ekonomi UMNO Pahang serta Pemegang Amanah Yayasan Budi Penyayang. Beliau telah menjadi Pengarah Rangkaian Delima semenjak 1996.
YH Dato’ Kamaruddin Mohamed
Beliau merupakan Pengarah Urusan Amanah Saham Mara. Tugas beliau termasuklah memberikan sokongan yang perlu kepada pihak pengurusan dan berusaha mencapai potensi starikat. Beliau juga merupakan pengarah kepada anak-anak syarikat ASM yang penglibatan utamanya adalah dalam bidang pelaburan. Beliau telah menjadi pengarah Rangkaian Delima semenjak 1996.
Pak Lah digesa arah polis siasat laporan Fauzi terhadap Khalil
(diedit oleh Malaysiakini.com)
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi digesa supaya mengarahkan polis menyiasat laporan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Beserah, Datuk Fauzi Abdul Rahman yang mendakwa setiausaha agung Umno, Tan Sri Khalil Yaakob terbabit dalam penyelewengan konsensi balak, sewaktu menjadi menteri besar Pahang.
Ketika membuat gesaan itu, ketua penerangan Pemuda Keadilan Pahang, Mohd Zukri Asah, berkata ianya selaras dengan kenyataan Abdullah baru-baru ini yang menegaskan bahawa antara usaha serius beliau adalah untuk memerangi rasuah.
Fauzi membuat laporan polis itu pada awal tahun 2001. Dalam aduan itu, beliau mendakwa Khalil, yang juga setiausaha agung Umno, mengagihkan kawasan balak tanpa mengikut kuota yang ditetapkan Dasar Perhutanan Negara ketika memimpin Pahang antara 1986 hingga 1999.
Fauzi mendakwa tindakan Khalil itu "menjejaskan sumber kewangan dan aliran tunai" kerajaan Pahang sekarang akibat hasil kawasan pembalakan sebanyak RM300 juta hingga RM900 juta setahun yang telah dibuka lebih awal.
Dalam satu kenyataannya hari ini, Mohd Zukri berkata: "Sebagai pembangkang yang sentiasa menegur parti pemerintah mengenai rasuah dan salahurus kewangan negara, saya mengalu-alukan kenyataan itu, apatah lagi dengan status Pak Lah sebagai bakal perdana menteri, bakal presiden Umno dan bakal pengerusi Barisan Nasional (BN) menjelang akhir Oktober ini."
Bagaimanapun, beliau mendakwa, setakat ini tindakan yang diambil hanya terhadap kepada pegawai kerajaan sahaja sepertimana dalam kes pengarah penguatkuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Abdul Kudus Ahmad.
Oleh itu, beliau menggesa Abdullah supaya membuktikan ketegasan dan komitmennya itu, dengan memulakan siasatan terhadap Khalil berhubung laporan polis Fauzi terhadap menteri penerangan itu.
Hilang sumber kewangan
"Ianya bukanlah hasil ‘fitnah’ pihak pembangkang, tetapi telah didokumentasikan dalam bentuk laporan polis oleh Datuk Fauzi, Adun Umno/BN Kawasan Beserah.
"Kerana penyelewengan ini, seperti kata Datuk Fauzi, anggarannya kerajaan Pahang kehilangan sumber kewangan di antara RM300 juta hingga RM900 juta setahun. Bayangkan ini berlaku selama lima tahun! Kerajaan Pahang telah kehilangan sumber kewangan minimumnya sebanyak RM1.5 bilion dan maksimumnya RM4.5 bilion.
"Apa yang boleh diusahakan oleh (Menteri Besar) Datuk Seri Adnan Yaakob untuk negeri Pahang jika sumber kewangan ini masih ada...," tambah Mohd Zukri.
Oleh itu, beliau menggesa Abdullah selaku menteri dalam negeri, mengarahkan pihak polis memulakan siasatan kerana laporan polis itu bukan sahaja dibuat oleh Fauzi tetapi juga oleh parti Keadilan.
"Sekiranya Pak Lah gagal melakukannya, tidak usahlah lagi selepas ini bersuara tentang usaha memerangi rasuah...," tambahnya.
Malaysiakini telah menyiarkan laporan-laporan mengenai konsesi balak yang dianugerahkan oleh kerajaan Pahang kepada Umno negeri itu, yang kemudiannya telah menandatangani perjanjianuntuk menyerahkan hak membalak kepada syarikat Seruan Gemilang Makmur (SGM) dengan bayaran hanya RM50,000.
Kawasan yang terletak di Nenasi, kira-kira 100km ke selatan Kuantan telah diberikan kepada Umno Pahang pada 1998. Parti itu menandatangani perjanjian dengan SGM pada tahun 2000.
Bagaimanapun, kedua-dua pihak kini terbabit dalam kes mahkamah selepas SGM menyamanUmno Pahang kerana kegagalan parti itu membantunya mendapatkan lesen membalak di kawasan baki seluas 3,000 ekar.
PENUTUPAN MRSM-YAYASAN TERENGGANU DUNGUN DAN BESUT
Bagi pihak Pemuda keADILan Negeri Pahang, saya terpanggil untuk menyuarakan rasa terkejut saya dengan kenyataan Datuk Seri Mohamed Nazri Tan Sri Aziz, Menteri Pembangunan Usahawan berkenaan dengan penutupan dua buah MRSM di Terengganu (satu di Dungun dan satu di Besut) yang mana pengelolaannya adalah secara kerjasama dengan Yayasan Terengganu dan keputusan ini pula adalah muktamad, berkuatkuasa tahun hadapan.
Sebagai bekas pelajar MRSM, saya merasa begitu tersentuh sekali. Sampai ke tahap itu, mengorbankan tempat dan peluang pendidikan anak-anak Melayu/Bumiputera, kerajaan UMNO/BN sanggup lakukan semata-mata kerana perbalahan politik. Kalau diandaikan pengambilan pelajar baru oleh sebuah MRSM adalah seramai 150 orang, maka anak-anak Melayu/Bumiputera sudah kehilangan 300 tempat untuk ke sekolah berasrama penuh!
Tiada alasan yang saya fikir boleh merasionalkan tindakan ini. Semua argumentasi yang diberikan boleh dicabar. Persoalan sama ada ramai atau tidak orang Melayu/Bumiputera miskin di Terengganu tidak timbul langsung. Yang penting MRSM ditubuhkan adalah untuk memberi peluang pendidikan menengah secara berasrama penuh kepada seramai mungkin anak Melayu/Bumiputera yang punya potensi, tidak kiralah dari mana asal mereka dan di mana letaknya MRSM itu.
Persoalan kuota tinggi Kerajaan Negeri Terengganu sudah menjadi perkara kedua, kerana sama ada di dalam atau di luar kuota, mereka semua adalah anak Melayu/Bumiputera dan mereka ini sedang menjadi buah catur permainan “berapa beratus-berapa peratus” oleh ahli-ahli politik.
Benar, Perbendaharaan memang mengeluarkan arahan tidak lagi membenarkan penubuhan MRSM berdasarkan keutamaan kumpulan tertentu, tetapi MRSM-Yayasan Terengganu Dungun dan Besut bukanlah MRSM yang baru dirancang hendak dibina atau dalam proses pembinaan, kedua-dua MRSM ini sudah wujud, sudah beroperasi bertahun lamanya, sepatutnya tidak tertakluk kepada arahan tersebut. Kalaupun Kementerian Pembangunan Usahawan mahu juga menggunakan alasan ini, maka secara adilnya, MRSM untuk anak tentera dan polis di Kem Terendak, Melaka serta di Kulim, Kedah patut ditutup sama. Kalau tidak, secara jelas, Kerajaan UMNO/BN membuktikan mereka sedang melakukan tindakan sakit hati politik.
Tahun depan, daripada 33 buah, MRSM akan hanya tinggal 31 sahaja. Pada waktu yang sama MRSM juga akan mula membuat pengambilan 10% pelajar bukan Melayu/Bumiputera. Andaikan pengambilan pelajar baru bagi setiap MRSM adalah seramai 150 orang, maka jumlah keseluruhannya adalah 4650 orang. Setiap MRSM akan membuat pengambilan tambahan untuk pelajar bukan Melayu/Bumiputera sebanyak 10%, iaitu 465 orang! 465 tempat pada waktu 300 tempat anak Melayu/Bumiputera sedang dikorbankan.
Saya menyeru kepada pimpinan UMNO/BN, khususnya kepada Datuk Seri Mohamed Nazri Tan Sri Aziz, duduk dan berfikirlah sebentar; sakit hati, dendam dan perbalahan politik kamu sebenarnya sedang membunuh generasi masa depan bangsa kamu sendiri.
Zukri can be contacted through his mobile phone number, 013-9513280
SESIAPA YANG INGIN MEMBUAT PENDAFTARAN LESEN KEMENTERIAN KEWANGAN, SECEPAT 7 HARI BEKERJA BOLEHLAH MENGHUBUNGI SDR ZUKRI MENGGUNAKAN NOMBOR DI ATAS, KOS HANYA RM800.00, TIADA LAGI BAYARAN-BAYARAN LAIN!!!